Total Pageviews

Monday, December 31, 2012

Gamelan


Tempat: Pasar Tamu Sabah or Gaya Street Sunday Market KK

Keasyikkan alunan bunyi Gamelan dipasar tamu menenggelamkan suara para pengunjung, lantang dipalu menjadi sebuah lagu. Setiap mata yang memandang pasti rasa terpegun dengan kehebatan tuannya. Usia bukan penghalang untuk menikmati indahnya alunan muzik, biarpun kepenatan menunggu pembeli namun masih sempat jua menghiburkan hati dengan bermain Gamelan. Senyuman terukir dibibir salah seorang dari mereka, seolah meberitahu kita bahawa betapa hebatnya Gamelan itu. "Ia seharusnya dimiliki, bukan cuma untuk dipandang sahaja."

Saturday, December 29, 2012

Bunga Untuk Mama


Riang dua beradik, datang menghampiri lalu menyapa hati yang sedang gelora. Luahan kasih dari bicara anak kecil menyentuh hati yang telah lama menunggu.

"Untuk siapa?..."
"Bunga ini untuk mama"


Tuesday, December 25, 2012

Bunga Matahari (HDR)



Walaupun kurang menggemari gambar HDR tetapi cubaan untuk menghasilkan HDR pada gambar
tetap diteruskan. Ini adalah percubaan pertama dan hasil yang diperolehi setelah melalui sedikit proses editing dalam Photoshop. Menjadikan Bunga Matahari sebagai subjek namun kehadiran serangga yang kebetulan ada disitu tetap mencuri tumpuan. 

Monday, December 24, 2012

Laut Biru


Tempat : Kota Kinabalu, Sabah

Memandang biru warna laut tanpa gelora membuatkan hati selalu tertawan. Begitu indahnya pemandangan sebegini jika diamati sedalamnya. Lautnya terasa segar..tenang...bersih bahkan kecantikkan yang tak terungkap dengan sebaris kata-kata. 

Friday, December 21, 2012

Dua Beradik


Renungan bersahaja seorang abang sambil ditangannya memegang ipad. Manakala si adik tersipu malu apabila mendengar ada saja suara mengusiknya. Musim cuti sekolah yang panjang telah diisi dengan menemani ibu mereka di gerai kecil dihadapan rumah dan dalam masa yang sama kehadiran mereka turut menjadi penghibur ibunya ketika itu. Biarpun cuaca agak panas namun mereka tetap setia duduk disatu sudut sambil melihat ibu mereka bekerja tanpa sedikitpun mengeluh. Ya, Pengorbanan keluarga mungkin saja telah mengajar dua beradik ini untuk memahami kesukaran hidup.

Friday, December 14, 2012

Sungai Berbatu

Tempat : Poring Hot Springs Sabah

Sungai kecil berbatu besar, alirannya deras seumpama dialah yang berkuasa. Alunan bunyi yang menampar disetiap batuan menjadi irama dan penyeri tetamu di Poring Hot Springs tersebut. Terasa sejuk andai disentuh, kelihatan jernih bila dipandang dan nampak cantik bila dikagumi.

Thursday, December 13, 2012

Pemuda Dan Diri


Dalam meneruskan hidup dibumi indah ciptaan-Nya, terkadang aku ingin sendiri disini tanpa mahu ditemani. Melepaskan sesak didada,....beban dibahu....merawat luka dihati sambil menenangkan fikiran dikala aku enggan menerima segala pandangan. Merenungi apa yang terjadi hanya akan membuatkan aku menyesali diri tetapi Insha Allah..... kedamaian, rasa cinta dan sayang itu pastiku temu setiap kali ku labuhkan kepercayaanku PadaMu.

Tuesday, December 11, 2012

Puncak Gunung Kinabalu

 Gunung Kinabalu Sabah

Sesekali melihat gumpalan awan yang begitu cepat menghampiri puncak gunung diwaktu pagi membuatkan hati terasa tenang. Perasaan itu lebih teruja bilamana yang ditatap itu merupakan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah.Hmm..walaupun tak mampu mendaki sampai ke situ, namun ku akui Puncak Gunung Kinabalu tetap cantik walau cuma dilihat dari jauh.

Friday, December 7, 2012

Kanak-kanak Di Esplanade KK


Tempat : Esplanade Kota Kinabalu Sabah

 Melihat telatah sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain tanpa menghiraukan pengunjung yang hadir disitu terkadang membuatkan aku tersenyum sendiri. Tetap tersentuh dihati melihat kehidupan yang terpaksa dilalui oleh mereka namun masih ku kagumi bahawa kekurangan dan kedaifan hidup tidak sedikit pun menghalang keceriaan mereka. Malahan kehadiran sekumpulan kanak-kanak ini terkadang membuatkan para pelancong terhibur dan tertawa sendiri dikala suara jeritan mereka memecah kesunyian di hadapan Eslanade yang luas itu. Masihku teringat 3 orang daripada mereka datang menghampiri pasangan dari Korea yang berdiri disebelahku dan meminta untuk diambil beberapa keping gambar.Dengan senyuman pasangan tersebut hanya menurut tanpa bantah. Dalam keriuhan melihat mereka bergambar, terdengar ada suara antara mereka menyebut "Good-good" "Beautiful" dan "Thank You" setelah pelancong tersebut menunjukkan gambar yang diambil sebentar tadi kepada kanak-kanak itu. Selang beberapa minit kemudian mereka terus berlari meninggalkan pasangan tersebut dengan penuh suara gembira. Mungkin benar...mereka juga mahu melihat sesuatu yang baru disekeliling mereka namun apa yang harus dilalui sekarang ialah menikmati hidup sepuas-puasnya. 

Thursday, December 6, 2012

Senja Yang Merah

Tempat:  Waktu senja di Bandar Miri

Terleka memandang kelangit membuatkan diri membisu seribu kata. Serakkan warna awan yang kemerahan diselubungi awan mendung memukau pandangan mata. Begitu indah dan damainya bila melihat langit diatas sana hingga diri merasa obses dengan pemandangan senja. Kecantikkan begini mungkin bisaku lihat ditempat sendiri namun sudah menjadi lumrah manusia jika suasana begini diambil dari tempat lain...perasaannya pasti akan menjadi berbeza

Monday, December 3, 2012

Ikan Bilis Kering

Tempat: Pekan Sepitang Sabah.

Berkat kesabaran menunggu pembeli yang singgah di gerai kecil depan rumahnya, tak mustahil pendapatan daripada hasil jualan ikan bilis ini akan menjadi lumayan. Tanpa menghiraukan sesiapa, peniaga wanita ini tetap terus memasukkan ikan bilis kering yang diminta oleh pelanggannya ke dalam bungkusan plastik. Dengan hanya menjual pada kadar harga RM20 sekilogram, sudah cukup untuk menarik minat para pengunjung dari luar kawasan Sabah untuk memborongnya. Melihat dari cara dan riak wajah wanita tersebut, kita sudah dapat meneka bahawa menjual ikan bilis kering ini merupakan punca pendapatan utama bagi keluarganya. Dan longgokan ikan bilis seperti ini boleh dilihat digerai tepi-tepi jalan sepanjang menuju ke Kota Kinabalu.

Followers