Total Pageviews

Monday, December 31, 2012

Gamelan


Tempat: Pasar Tamu Sabah or Gaya Street Sunday Market KK

Keasyikkan alunan bunyi Gamelan dipasar tamu menenggelamkan suara para pengunjung, lantang dipalu menjadi sebuah lagu. Setiap mata yang memandang pasti rasa terpegun dengan kehebatan tuannya. Usia bukan penghalang untuk menikmati indahnya alunan muzik, biarpun kepenatan menunggu pembeli namun masih sempat jua menghiburkan hati dengan bermain Gamelan. Senyuman terukir dibibir salah seorang dari mereka, seolah meberitahu kita bahawa betapa hebatnya Gamelan itu. "Ia seharusnya dimiliki, bukan cuma untuk dipandang sahaja."

Saturday, December 29, 2012

Bunga Untuk Mama


Riang dua beradik, datang menghampiri lalu menyapa hati yang sedang gelora. Luahan kasih dari bicara anak kecil menyentuh hati yang telah lama menunggu.

"Untuk siapa?..."
"Bunga ini untuk mama"


Tuesday, December 25, 2012

Bunga Matahari (HDR)



Walaupun kurang menggemari gambar HDR tetapi cubaan untuk menghasilkan HDR pada gambar
tetap diteruskan. Ini adalah percubaan pertama dan hasil yang diperolehi setelah melalui sedikit proses editing dalam Photoshop. Menjadikan Bunga Matahari sebagai subjek namun kehadiran serangga yang kebetulan ada disitu tetap mencuri tumpuan. 

Monday, December 24, 2012

Laut Biru


Tempat : Kota Kinabalu, Sabah

Memandang biru warna laut tanpa gelora membuatkan hati selalu tertawan. Begitu indahnya pemandangan sebegini jika diamati sedalamnya. Lautnya terasa segar..tenang...bersih bahkan kecantikkan yang tak terungkap dengan sebaris kata-kata. 

Friday, December 21, 2012

Dua Beradik


Renungan bersahaja seorang abang sambil ditangannya memegang ipad. Manakala si adik tersipu malu apabila mendengar ada saja suara mengusiknya. Musim cuti sekolah yang panjang telah diisi dengan menemani ibu mereka di gerai kecil dihadapan rumah dan dalam masa yang sama kehadiran mereka turut menjadi penghibur ibunya ketika itu. Biarpun cuaca agak panas namun mereka tetap setia duduk disatu sudut sambil melihat ibu mereka bekerja tanpa sedikitpun mengeluh. Ya, Pengorbanan keluarga mungkin saja telah mengajar dua beradik ini untuk memahami kesukaran hidup.

Friday, December 14, 2012

Sungai Berbatu

Tempat : Poring Hot Springs Sabah

Sungai kecil berbatu besar, alirannya deras seumpama dialah yang berkuasa. Alunan bunyi yang menampar disetiap batuan menjadi irama dan penyeri tetamu di Poring Hot Springs tersebut. Terasa sejuk andai disentuh, kelihatan jernih bila dipandang dan nampak cantik bila dikagumi.

Thursday, December 13, 2012

Pemuda Dan Diri


Dalam meneruskan hidup dibumi indah ciptaan-Nya, terkadang aku ingin sendiri disini tanpa mahu ditemani. Melepaskan sesak didada,....beban dibahu....merawat luka dihati sambil menenangkan fikiran dikala aku enggan menerima segala pandangan. Merenungi apa yang terjadi hanya akan membuatkan aku menyesali diri tetapi Insha Allah..... kedamaian, rasa cinta dan sayang itu pastiku temu setiap kali ku labuhkan kepercayaanku PadaMu.

Tuesday, December 11, 2012

Puncak Gunung Kinabalu

 Gunung Kinabalu Sabah

Sesekali melihat gumpalan awan yang begitu cepat menghampiri puncak gunung diwaktu pagi membuatkan hati terasa tenang. Perasaan itu lebih teruja bilamana yang ditatap itu merupakan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah.Hmm..walaupun tak mampu mendaki sampai ke situ, namun ku akui Puncak Gunung Kinabalu tetap cantik walau cuma dilihat dari jauh.

Friday, December 7, 2012

Kanak-kanak Di Esplanade KK


Tempat : Esplanade Kota Kinabalu Sabah

 Melihat telatah sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain tanpa menghiraukan pengunjung yang hadir disitu terkadang membuatkan aku tersenyum sendiri. Tetap tersentuh dihati melihat kehidupan yang terpaksa dilalui oleh mereka namun masih ku kagumi bahawa kekurangan dan kedaifan hidup tidak sedikit pun menghalang keceriaan mereka. Malahan kehadiran sekumpulan kanak-kanak ini terkadang membuatkan para pelancong terhibur dan tertawa sendiri dikala suara jeritan mereka memecah kesunyian di hadapan Eslanade yang luas itu. Masihku teringat 3 orang daripada mereka datang menghampiri pasangan dari Korea yang berdiri disebelahku dan meminta untuk diambil beberapa keping gambar.Dengan senyuman pasangan tersebut hanya menurut tanpa bantah. Dalam keriuhan melihat mereka bergambar, terdengar ada suara antara mereka menyebut "Good-good" "Beautiful" dan "Thank You" setelah pelancong tersebut menunjukkan gambar yang diambil sebentar tadi kepada kanak-kanak itu. Selang beberapa minit kemudian mereka terus berlari meninggalkan pasangan tersebut dengan penuh suara gembira. Mungkin benar...mereka juga mahu melihat sesuatu yang baru disekeliling mereka namun apa yang harus dilalui sekarang ialah menikmati hidup sepuas-puasnya. 

Thursday, December 6, 2012

Senja Yang Merah

Tempat:  Waktu senja di Bandar Miri

Terleka memandang kelangit membuatkan diri membisu seribu kata. Serakkan warna awan yang kemerahan diselubungi awan mendung memukau pandangan mata. Begitu indah dan damainya bila melihat langit diatas sana hingga diri merasa obses dengan pemandangan senja. Kecantikkan begini mungkin bisaku lihat ditempat sendiri namun sudah menjadi lumrah manusia jika suasana begini diambil dari tempat lain...perasaannya pasti akan menjadi berbeza

Monday, December 3, 2012

Ikan Bilis Kering

Tempat: Pekan Sepitang Sabah.

Berkat kesabaran menunggu pembeli yang singgah di gerai kecil depan rumahnya, tak mustahil pendapatan daripada hasil jualan ikan bilis ini akan menjadi lumayan. Tanpa menghiraukan sesiapa, peniaga wanita ini tetap terus memasukkan ikan bilis kering yang diminta oleh pelanggannya ke dalam bungkusan plastik. Dengan hanya menjual pada kadar harga RM20 sekilogram, sudah cukup untuk menarik minat para pengunjung dari luar kawasan Sabah untuk memborongnya. Melihat dari cara dan riak wajah wanita tersebut, kita sudah dapat meneka bahawa menjual ikan bilis kering ini merupakan punca pendapatan utama bagi keluarganya. Dan longgokan ikan bilis seperti ini boleh dilihat digerai tepi-tepi jalan sepanjang menuju ke Kota Kinabalu.

Tuesday, November 13, 2012

Bot Express


Melihat bot-bot express yang berlabuh diwaktu senja mengingatkan aku tentang sesuatu.Suasana begini sudah biasaku lihat pada zaman kanak-kanakku iaitu diawal zaman 80an cuma tempatnya berbeza dan keadaannya lebih tenang jika berbanding dulu.Jika dulu inilah pengangkutan utama sesetengah penduduk tetapi dizaman yang penuh moden ini, dimana dilengkapi dengan segala pengangkutan dan kemudahan jalan raya yang ada...bot express cumalah sebagai pilihan. Mungkinkah bot express ini akan terus dapat dilihat bagi generasi baru atau akan cuma tinggal sebagai kenangan bagi pengguna yang pernah menjejakkan kaki kedalam bot express seperti aku?.Hmm.. Melihat sahaja jumlah bot express yang semakin berkurangan berlegar di Sungai-sungai Sarawak menambahkan keyakinan untuk kita terus meneka apa yang akan berlaku dimasa hadapan.

Sunday, November 4, 2012

Cermin Sisi


Apabila bergerak kehadapan, tak bermakna kita meninggalkan semuanya dibelakang. Mungkin saja hidup mengajar kita untuk terus bergerak ke depan tetapi sekali sekala luangkanlah sedikit waktu untuk mengingati  semula masa silam yang telah mengajar kita untuk terus bangkit sebegini. Hidup ini sepertimana anda duduk bersebelahan dengan cermin sisi kereta, jika kita tidak punya waktu untuk menoleh walau sesaat pada cermin sisinya..siapa tahu mungkin juga kita boleh terlepas pandang dengan keindahan yang masih berada dibelakang.

Thursday, November 1, 2012

Jambatan Lama


Memandang dari jauh dua motosikal yang melintas diatas jambatan lama ditengah sungai kecil itu sungguh menggamit rasa. Sepertinya,itulah satu-satunya jambatan yang menjadi nadi di kawasan tersebut.Tanpa ia,mungkin kenderaan kecil seperti motosikal, basikal ataupun pejalan kaki sukar untuk berhubung. Walaupun ia nampak lama dan kecil tetapi alhamdulillah ia masih utuh dan terus berdiri untuk kegunaan penduduk setempat.

Tuesday, October 30, 2012

Pahat dan Tukul


Tangan yang mahir takkan pernah menipu,betapa halusnya cara dan hasilnya nanti. Melihat saja permukaan kuku yang berlekuk dan jari jemari yang memegang pahat dan tukul sudah cukup menceritakan betapa sebatinya peralatan itu dengan jiwanya. Dengan melihat sahaja kemahiran yang ada padanya telah membuktikan bahawa apa yang dilakukannya bukan bermula semalam tetapi sebenarnya sudah bertahun-tahun lamanya. 

Sunday, October 28, 2012

Kapal Lama


Melihat kapal lama yang seharian berlabuh dijeti sambil ditemani bot-bot kecil yang ada antaranya berpaut di kiri dan kanan, seolah-olah memberitahu bahawa kau masih lagi gagah sepertimana diawal kemunculanmu dulu. Tidak sedikit pun gentar sekalipun dengan kehadiran wajah-wajah baru disekelilingmu. Ahh..terfikir sejenak, mungkin rupa dan pergerakkanmu tidak sehebat bot-bot kecil itu tetapi siapa tahu,jasamu lebih banyak sehingga memungkinkan senyuman terukir dibibir tuanmu.

Saturday, October 27, 2012

Senja Kemerahan


Awan berubah sekelip mata di angkasa dengan serangkaian warna jingga kemerahan..biru keputihan dan lintasan awan mendung yang hadir dibawa angin dari arah sana. Melihat ke langit tinggi, terasa berada didua dunia yang berbeza.  Senja kemerahan seperti ini pasti kan berulang cuma lukisan wajahnya takkan sama seperti yang kulihat dipetang ini. 

Thursday, October 25, 2012

Melukis Cahaya (Light Painting)


Sekali-sekala aku menukar selera dalam penggambilan gambar. Malam ini terdetik untuk mencuba "Light Painting Photography". Memang benar...lukisan dari cahaya LED sungguh mempersonakan. Tidak kelihatan di alam realiti tetapi yang pasti lakarannya terbentuk didalam sebuah gambar. Dan ini adalah hasil dari bantuan anak tersayang mengikut kreativiti dan imaginasi bebas yang diserahkan sepenuhnya kepada dia tetapi nampaknya untuk gambar ini dia masih memilih bentuk hati sebagai percubaan. Perlu diingat, nampak simple tetapi untuk mencipta satu gambar yang sempurna memerlukan hampir mencecah seratus shot.

Sila lihat lebih lanjut experiment seterusnya..moga ada yang mahu mencuba dengan corak dan cara tersendiri. Ini hanyalah hasil anak kecil,tetapi sebagai permulaan..aku berpuas hati. Where is she? Ahaa..guess what...actually she is standing behind that light..hehehe.Untuk gambar yang perfect, aku memerlukan 100% ruang gelap hehehe..


Gambar ini hanya menggunakan dua lampu sahaja...mungkin lebih sesuai dilihat seperti anak panah..


Penggunaan 3 lampu diperlukan dalam gambar ini...biru,merah dan putih..contengan yang agak dramatik dan abstract


Versi yang agak kasar tetapi masih nampak menarik untuk dipaparkan


Tadaaaa..sekadar untuk menguatkan usul,satu gambar khas yang aku masukkan sedikit cahaya dari satu arah dimana menunjukkan anak aku berada di belakang cahaya lampu itu..i told u before,she is behind that light.. :-D

Pemetik Api


Berada ditempat gelap bukanlah pilihan kita, bahkan kita sering berusaha mencari cahaya untuk menerangi kegelapan walaupun cahaya itu cuma datangnya dari pemetik api yang murah. Pun begitu, kita juga tidak harus lupa pada pepatah melayu yang mengatakan bahawa "Api kecil menjadi kawan dan api besar pula menjadi lawan." Bukan melarang tetapi sebaiknya berhati-hatilah selalu kerna dengan pemetik api itu, ia boleh bertukar menjadi saat suka dan duka kita.

Tuesday, October 23, 2012

Kulat Kuning


Kecil..halus...dan kekuningan..Itulah Kulat Kuning yang sering kita lihat menumpang hidup diatas papan lama yang hampir mereput. Hadirmu kurang digemari kerna sifatmu yang sering merosakkan pandangan mata sang pemerhati. Maaf, tiada apa yang harus dibanggakan tentangmu selain warnamu tampak bercahaya ketika dibasahi titisan air hujan. Namun berbeza pandangan bagi mereka yang bergelar pencinta alam, tetap percaya bahawa kau juga punya keunikkan tersendiri.

Monday, October 22, 2012

Mendongak Ke Langit


Sesekali aku mengajar dia untuk mendongak ke langit..Melihat ke angkasa betapa indahnya jika berada diatas sana berbanding didunia nyata yang terpaksa meredahi segala kesukaran yang menghalang setiap perjalanan. Payah atau mudah ia tetap harus ditempuhi biarpun sering tersekat-sekat dipertengahan. Mudah-mudahan secebit pengalaman akan mengajar sesuatu bila tiba saatnya nanti.

Sunday, October 21, 2012

Cendawan Liar 2


Putih mengerutu kulitnya..tumbuh segar disebalik lalang-lalang hijau, umpama dialah raja dimusim hujan. Memilih untuk hidup berkumpulan namun tak semua tempat ditakluki.Masih cuba berlindung disebalik daun demi untuk bertahan lebih lama. Mungkinkah hayatmu lebih lama atau cuma mampu berdiri untuk hari ini sahaja?

Saturday, October 20, 2012

Si Kumbang Merah


Berusaha untuk bersembunyi dan menyamar disebalik daun hijau tetapi jejakmu tetap dapat dikesan . Dari jauh kau kelihatan begitu kerdil,  terbang sendiri tanpa hala tuju dan cuba hinggap di setiap helaian daun yang ada dihadapanmu. Ahhh...Unik dalam caramu sendiri, aku terpesona. Tetapi maaf, takku kenal namamu namun kerna kilauan warna yang menutupi seluruh tubuhmu begitu menyerlah maka kau ku gelar
 "Si Kumbang Merah" :-)

Friday, October 19, 2012

Hati




Cinta itu hadir kepada sesiapa sahaja bahkan kepada diri seorang budak yang belum memahami maksudnya. Terleka bermain bayang-bayang lalu menyatukan kedua tangannya diangkasa dan cuba memantulkan bentuk hati di permukaan pasir. Begitulah bentuk hati dari kaca mata seorang kanak-kanak.Mungkin hasilnya tidak sempurna tetapi sudah cukup untuk kita meneka dan memahaminya. 

Cendawan Tumbuh Liar


Cendawan Liar tumbuhnya merata dikawasan terlindung dan berlembap. Terlihat sedikit lubang kecil disisinya, mungkin hasil tebukkan serangga kecil namun masih cantik untuk diamati begini.

Thursday, October 18, 2012

Rama-Rama


Dari kepompong kau menjadi rama-rama. Hadir dalam pelbagai rupa dan warna. Beterbangan megah dan bebas disekitar taman..sungguh cantik dipandang bak penyeri alam diwaktu siang.

Tuesday, October 16, 2012

Bunga Kacang Panjang


Segar dan cantik, tak ubah seperti orkid kelopaknya tetapi siapa menyangka sebenarnya ini adalah bunga kacang panjang. Hadirnya bersifat sementara kerna gugurnya ia ke bumi sebelum sayur kacang panjang itu matang dan sesuai untuk dipetik.

Monday, October 15, 2012

Ulat Bulu


Ulat bulu sudah naik daun,itulah yang sering kita dengar.  Bahaya jika disentuh,seeloknya jangan dipegang walaupun sizenya kecil.

Sunday, October 14, 2012

Cendawan 2


Seperti cantiknya didalam sebuah gambar...ia lebih indah dilihat dalam kehidupan sebenar. Besar...putih..bersih..megah dan bersahaja tumbuh diantara daun-daun hijau. Walaupun hidupnya hanya bertahan sehari dua tetapi mengaplikasikan ia didalam sebuah gambar sudah cukup untuk menjadikannya ia hidup dan bertahan lebih lama. 

Cendawan


Limpahan air hujan membasahi bumi, membuatkan cendawan ini megah berdiri dikala semua tumbuhan lain hanya mampu tunduk dan rebah menanti cahaya kembali. Sebesar tapak tangan lebar permukaannya sedikit membuat aku teruja untuk berkongsi disini. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah kata-kata yang sering kita dengar. 


Saturday, October 13, 2012

Mee Kari


 Jika kebiasaannya kita sering mahu melihat makanan penuh dimeja diwaktu makan tengahari atau malam, tetapi ada juga saatnya kita merasa cukuplah hanya dengan menikmati sebungkus mee kari buat alas perut diwaktu lapar. Harusnya kita mensyukuri sesuatu itu dalam pelbagai cara walaupun hanya dengan sebungkus mee kari.

Friday, October 12, 2012

Tenang


Hijau..Tenang..indah......itulah yang sering kita cari. Terlihat disebalik tonggol kayu, sang bangau asyik bermain di tepian sungai.Indahnya bumi ciptaan Tuhan.

Thursday, October 11, 2012

Dua Sahabat


Model : My daughter and anak jiran

Dua sahabat yang berbeza bahasa, umur, pendirian dan latar belakang sering bersama dikala waktu bermain. Melemparkan senyuman dengan cara sendiri namun keikhlasan tetap terlihat dari pandangan dan gerak bibir biarpun cuba untuk menyembunyikan rasa malu. Indahnya dunia kanak-kanak.

Wednesday, October 10, 2012

Jala Kosong


Memerhati disetiap penjuru jala dengan harapan akan ada habuan setiap kali menarik jalanya ke darat. Riak wajah tetap bersahaja namun hati yang hampa selepas melihat hasil tebaran jala yang hampir tiada itu tidak siapa yang tahu. Apakah jika diulang berkali-kali, hasilnya tetap begitu?.Mungkin hari ini jalamu kosong, tetapi insyaallah dilain hari pasti rezekimu ada...

Nelayan dan Sampan


Tenang air laut membawa berita gembira buat sang nelayan . Dalam terik panas tanpa rasa sedikit pun kepenatan dan gentar, tetap terus mendayung perlahan dengan sampan kecil hingga sampai ke destinasi yang dituju. Cuma berbekalkan doa, semangat, kesabaran dan kesungguhan..pasti laut yang luas itu mampu memberi sekali lagi peluang dan menjanjikan sesuatu yang lumayan buat keluarga dan penduduk kampung bila pulang dari laut nanti. Insyaallah dengan izin dariNya.

Kupu-kupu Hutan


Kupu-kupu hutan berwarna coklat pudar, hinggap sendirian di dinding putih tanpa teman. Bijak menyamar setanding halus tubuhmu. Dari jauh kau seperti tiada apa-apa..tiada menonjol bahkan tiada jua ketara identitimu tetapi jika diamati begini baru aku tersedar bahawa dirimu seperti "Pahlawan Viking".

Harapan


Terus gigih dan sabar itulah motivasi diri.Menarik jala ke darat seumpama manarik hati dari dasar laut. Jika seekor ikan besar berjaya ditawan, itu sudah cukup untuk memberi senyuman sepanjang hari dan andainya tiada, apa lagi yang harus dilakukan selain mencuba sekali lagi. 

Tuesday, October 9, 2012

Daddy..Please hold me tight


Daughter: Daddy..can you see that?
 Daddy: Its a fish sayang
Daughter: Yes..its a small fish...Ahhh....Daddy!....please hold me tight so that i don't fall into the river and scare the fish.
Daddy: Don't be afraid, you are not alone.I am here beside you sayang...

Monday, October 8, 2012

Kasih Ayah



Seorang lelaki lewat usia berdiri keseorangan sambil melihat keadaan laut, cuma menunggu masa yang sesuai untuk melabuhkan perahu seperti temannya itu. Biarpun peluh membasahi dahi...rambut kian memutih...namun demi keluarga tercinta, sanggup jua meredah lautan luas untuk mencari rezeki hari ini.Begitu besarnya pengorbanan dan tingginya kasih seorang suami dan ayah, hingga tiada siapa mampu menandinginya.

Sunday, October 7, 2012

Pemuda dan Jala

Seorang pemuda menebarkan jalanya di tepi pesisiran pantai ketika air beransur surut, mencuba nasib dipagi hari. Mungkinkah ada tangkapan untuk dibawa balik buat santapan keluarga atau cuma kembali dengan tangan kosong.

Saturday, October 6, 2012

Sungai Kecil Ditengah Hutan

Sungai  kecil ditengah hutan

Dibawah pohon-pohon kayu yang merimbun,terpandang ada antara batangnya mati, rantingnya patah,pokok dan dedaun lama berganti baru. Dan sungai itu mengalir tanpa arus.Damainya hati memandang,setenang anak sungai yang mengalir perlahan ke hulu.

Friday, October 5, 2012

Awan Hitam


Langit yang awalnya terang tiba-tiba berubah menjadi gelap. Melintasi jambatan diwaktu angin mula bertiup dari arah pantai begini, sesekali membuat aku rasa gerun.Apalagi bila melihat pemandangan langit yang gelap gelita dimana jam tangan masih terlalu awal iaitu mendekati pukul 5 petang.

Thursday, October 4, 2012

Selipar Lusuh


Selipar lusuh yang saban tahun saiznya berbeza...masih diletakkan ditempat yang sama walaupun jarang diguna.

Wednesday, October 3, 2012

"Putih"..Anak Kucing Comel


Reaksi bersahaja dari kucing yang kami panggil dengan nama Putih. Anak kucing yang sangat aktif tetapi dikala aku cuba bermain dengan lensa kemeraku, putih mula kelihatan "boring" namun tetap comel untuk dikongsikan bersama.

Cendawan Tersembunyi Dalam Rumbia 2


Satu lagi gambar cendawan yang sama tetapi diambil dari sudut lain.Cantik dan putih berkrim :-D

Cendawan Tersembunyi Dalam Batang Rumbia


Cendawan yang hidup subur ini telah dijumpai di antara celah-celah batang rumbia(sago) lama. Keindahan dan keunikan menambat hati.

Followers